KOTA KINABALU: Siri jelajah Tamu Suara 360° (TS360) melabuhkan tirai di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini dengan kehadiran kira-kira 3,000 peserta dari seluruh negeri.
Program yang berteraskan sesi libat urus antara Kerajaan dan golongan belia itu mencatatkan penyertaan lebih 16,000 individu sepanjang 16 siri jelajah di seluruh pelosok Sabah.

Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, inisiatif julung kali itu bertujuan menginklusifkan suara belia Sabah sebagai sebahagian daripada panduan Kerajaan Negeri dalam menggubal dasar dan polisi pembangunan belia.
“Usaha ini dilaksanakan oleh MBS dengan sokongan Kerajaan Negeri, khususnya Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS), bagi memastikan suara belia di peringkat akar umbi diambil kira secara inklusif dalam setiap dasar pembangunan belia negeri,” katanya.

Abqaree berkata, program itu bukan sahaja membuka ruang kepada belia untuk bersuara, tetapi juga menonjolkan semangat keterbukaan kerajaan negeri dalam mendengar pandangan generasi muda.
“Program ini menongkah arus birokrasi dan istimewa kerana belia dari pelbagai latar belakang bebas berkongsi pandangan dan idea secara terus di hadapan pembuat keputusan dan pemimpin Kerajaan,” jelasnya.

Beliau turut berharap agar TS360 diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh hubungan komunikasi antara belia dan kerajaan negeri, sekali gus memastikan setiap inisiatif baharu kerajaan selari dengan aspirasi belia Sabah.
Finale TS360 di SICC hari ini turut dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan dihadiri pelbagai komuniti belia dari seluruh negeri.
Untuk rekod, siri jelajah TS360 yang bermula di Kuching, Sarawak, turut menjelajah ke 15 kawasan di Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Penampang, Keningau, Kudat, Sandakan dan Tawau.
































