Fahmi Fadzil
SEPANG: Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk hadir ke Malaysia dibuat bukan atas nama Malaysia semata-mata, sebaliknya sebagai kapasiti bagi 10 negara anggota ASEAN.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu mewakili negara ASEAN bagi membuka ruang dialog bersama Trump serta pemimpin-pemimpin negara lain.
Katanya, jemputan kepada Trump bukan sekadar mewakili pendirian Malaysia, tetapi suara bersama ASEAN dalam menuntut keadilan buat Palestin.
“Jemputan Ini bukan sekadar kapasiti Malaysia semata-mata.
“Sebaliknya, untuk memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin negara Asia lain berinteraksi dengan Presiden Trump,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Operasi Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), di sini hari ini.
Beliau menegaskan, jemputan kepada Trump akan memberi peluang kepada Malaysia untuk menyampaikan mesej terus kepada Presiden Amerika Syarikat.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika persidangan APEC di San Francisco baru-baru ini lantang menyatakan sokongan padu terhadap Palestin.
“Perdana Menteri tidak berbelah bahagi memberi sokongan rakyat Malaysia kepada Palestin dan berani mempertikai sikap hipokrit negara tertentu dalam isu keadilan.
“Ini adalah platform baik untuk Perdana Menteri bercakap terus terang dengan Trump mengenai pendirian kita,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, perkembangan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam beberapa hari ini juga menunjukkan dunia semakin berubah.
“Dalam tempoh 24 jam yang terakhir, kita lihat perbincangan sangat hangat mengenai Gaza, bukan sekadar gencatan senjata, tetapi menghentikan perang di Gaza,” katanya.