PETALING JAYA: Arena bola sepak negara dikejutkan dengan dakwaan peletakan jawatan Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub sebagai Presiden Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, Mohd Joehari telah menghantar surat peletakan jawatan itu kepada sekretariat FAM dan telah mengosongkan pejabatnya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM akan berlangsung esok dan isu tersebut dijangka menjadi agenda utama sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapat maklum balas daripada FAM gagal selepas individu yang dihubungi tidak memberikan sebarang respon berhubung isu tersebut.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan barisan kepemimpinan FAM dijangka berubah selepas wujud dakwaan akan mengalami rombakan mengejut dalam tempoh terdekat.
Mohd. Joehari menerajui FAM sejak Februari lalu selepas menang tanpa bertanding dalam kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029 dan beliau menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang tidak mempertahankan jawatan.
Jawatan Presiden FAM selepas ini dijangka dipangku oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi dan pengumuman bakal dibuat selepas mesyuarat badan itu pada Rabu ini.
Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan situasi berkenaan sebagai sesuatu yang tidak sihat dan boleh menjejaskan kredibiliti badan induk bola sepak negara.
“Perkara ini bagi saya sendiri adalah satu kejutan, sebelum ini kita ingat Mohd. Joehari mendapat ‘restu’ semua pihak kerana beliau menang tanpa bertanding dan tanpa dicabar mana-mana pihak.
“Persoalan timbul kerana Mohd. Joehari baru sahaja dipilih Februari lalu dan tidak sampai setahun. Apa sebenarnya berlaku,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pekan berharap kemelut yang berlaku dalam FAM tidak menganggu proses revolusi Harimau Malaya yang mula membuahkan hasil dengan melakar keputusan-keputusan positif.
“Seperti kita maklum, Harimau Malaya sekarang dipegang badan pengurusan berbeza. Jadi, kita harap perkara ini tidak ganggu fokus kem kebangsaan kerana peminat mahukan peningkatan,” katanya.


































