Mohd. Shamsul (duduk, empat dari kanan), Razali (lima dari kanan) dan Arshad (enam dari kanan) selepas Taklimat Pengurusan Trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08.
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sedang meneliti cadangan pembinaan satu pusingan U (U-turn) tambahan di Jalan Berungis-Tebobon bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering membelenggu pengguna di kawasan itu.
Timbalan Pengarah JKR Sabah, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd. Shamsul Nizam Abdul Wahid berkata, cadangan yang dikemukakan penduduk setempat itu dilihat mampu memendekkan jarak pusingan U yang kini terletak jauh di Bandar Sierra.
“Cadangan ini langkah jangka pendek yang baik dan sedang diperhalusi. Jika dilaksanakan, ia akan memudahkan penduduk Kampung Tebobon membuat pusingan U tanpa perlu menghala jauh ke Bandar Sierra.
“Pusingan U baharu dicadang dibina berhadapan bangunan Telekom Malaysia (TM), dan pelaksanaannya dijangka siap dalam tempoh sebulan hingga enam minggu,” katanya selepas taklimat pengurusan trafik Projek Lebuhraya Pan Borneo WP07 dan WP08 di Pejabat Tapak WP08 Bandar Sierra, kelmarin.
Beliau berkata, bagi langkah jangka panjang, kerja utama lebuh raya sedang dipercepatkan dengan laluan utama WP07 dijangka siap hujung tahun ini, manakala WP08 pada 2026.
“Tambahan skop pembinaan mini flyover di Tuaran juga dijadual siap pada tahun sama. Mulai November ini, laluan Tobobon hingga persimpangan Norowot yang mempunyai flyover akan dibuka sepenuhnya sekali gus mengurangkan kesesakan kerana pengguna tidak lagi perlu membuat pusingan U jauh,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau, Datuk Mohammed Razali Razi menyambut baik penjelasan JKR dan menghargai usaha yang diambil.
“Kami diberi jaminan masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat. Bagi jangka panjang, rakyat perlu bersabar sehingga projek siap sepenuhnya. Yang penting, JKR mendengar suara penduduk,” katanya.
Ketua Gagasan Rakyat Karambunai, Datuk Arshad Idris turut menegaskan, penjelasan itu akan disampaikan kepada penduduk akar umbi agar mereka faham perkembangan sebenar projek Pan Borneo.
“Sekurang-kurangnya hari ini, kami diberi penerangan jelas tentang status projek di kawasan Karambunai, dan maklumat ini akan kami sampaikan kepada masyarakat,” ujarnya.


































