Tengku Zafrul Abdul Aziz
PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan kelulusan pelaburan bernilai RM190.3 bilion dalam separuh pertama 2025, meningkat 18.7 peratus tahun ke tahun, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama rantau ini.
Menurut Utusan Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, sebanyak 3,011 projek merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer dijangka menjana 89,294 peluang pekerjaan baharu.
Ini sekali gus membuktikan kemampuan negara menterjemahkan komitmen pelaburan kepada impak ekonomi sebenar.
“Aliran pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 43.5 peratus tahun ke tahun, dipacu pertumbuhan kukuh dalam sektor perkhidmatan (+100.7 peratus), pembuatan (+12.1 peratus) dan primer (+57.4 peratus).
“Pencapaian ini turut disokong oleh peningkatan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-34 kepada kedudukan ke-23 dalam IMD World Competitiveness Ranking 2025.
“Pertumbuhan dan peningkatan daya saing ini mencerminkan usaha bersepadu kerajaan dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan, melaksanakan misi promosi perdagangan serta pelaburan yang agresif dan memperkemas proses kelulusan,” katanya dalam kenyataan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pertumbuhan itu menunjukkan kepercayaan berterusan pelabur asing dan domestik terhadap dasar jelas kerajaan dan agenda reformasi industri jangka panjang.
“Faktor-faktor ini menyumbang kepada asas ekonomi kukuh Malaysia, yang terus bertahan walaupun dalam persekitaran global mencabar.
“MITI dan MIDA bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan untuk memastikan komitmen pelaburan ini dilaksanakan dengan segera dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, prestasi Johor amat memberangsangkan, mendahului negara pada suku pertama 2025 (RM30.1 bilion) dan juga bagi separuh pertama 2025 (RM56.0 bilion).
“Ini mencerminkan asas ekonomi negeri yang semakin kukuh, didorong oleh inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, satu daripada nilai tambah Malaysia sebagai hab strategik pembuatan dan perkhidmatan di rantau ASEAN,” ujarnya.
Mengikut negeri, Johor mencatat nilai pelaburan tertinggi (RM56.0 bilion), diikuti Selangor (RM34.7 bilion), Kuala Lumpur (RM30.1 bilion), Pulau Pinang (RM18.9 bilion) dan Sabah (RM11.4 bilion).
Sementara itu, berdasarkan pelaburan diluluskan daripada sumber asing, Singapura muncul sebagai penyumbang terbesar dengan RM43.4 bilion, diikuti China (RM23.4 bilion), Amerika Syarikat (RM10.4 bilion), British Virgin Islands (RM6.6 bilion) dan Itali (RM3.3 bilion).
Pelaburan asing itu mencerminkan kepercayaan global yang berterusan terhadap Malaysia sebagai pangkalan strategik untuk pertumbuhan serantau.
Dalam pada itu, sektor tumpuan di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang sebanyak RM88.3 bilion, iaitu hampir separuh daripada jumlah pelaburan yang diluluskan (46.4 peratus) merentasi pelbagai sektor ekonomi.
Ia melibatkan 426 projek dengan jangkaan mewujudkan 33,891 pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia, selaras dengan strategi pelaburan negara dan matlamat pembangunan jangka panjang.
Daripada jumlah keseluruhan, RM106.2 bilion (55.8 peratus) berada di bawah bidang kuasa MITI dan MIDA, melibatkan 1,247 projek yang dijangka mewujudkan 48,689 pekerjaan.


































