PETALING JAYA: Polis mengesahkan kejadian seorang lelaki tempatan maut dipercayai tergelincir dan terjatuh dari tingkat 20 sebuah apartmen di Jalan Jalil Impian 1, Bukit Jalil dekat sini, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, dalam kejadian pukul 10.45 pagi itu, satu panggilan kecemasan diterima melalui MERS 999.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mangsa berusia 25 tahun itu datang ke tingkat 20 apartmen berkenaan dipercayai untuk berjumpa teman wanitanya kira-kira pukul 3.30 pagi.
Katanya, lelaki itu cuba menghubungi teman wanitanya tetapi gagal dan cuba memanjat tebing sebelah rumah sebelum tergelincir lalu jatuh.
“Akibat itu, mangsa cedera parah di kepala dan anggota badan lain dan disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aidil berkata, pemeriksaan lanjut pada badan mangsa dan sekitar tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat yang dilakukan pagi tadi dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
































