PETALING JAYA: Seorang pelajar tingkatan dua bertindak mengugut dan menumbuk gurunya selepas ditegur kerana ponteng kelas dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Kajang dekat sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada guru lelaki berusia 29 tahun berhubung kejadian terbabit pada 7.15 malam, kelmarin.
Katanya, siasatan mendapati kejadian berpunca apabila pelajar itu ponteng kelas pendidikan jasmani yang sepatutnya berada di padang sekolah, dan dia ditegur guru berkenaan.
“Perkara itu membuatkan suspek tidak berpuas hati lalu berlaku pergelutan antara mereka sehingga suspek mula mengugut dan menumbuk muka gurunya.
“Malah, kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa guru dan pelajar lain, malah turut tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Menurutnya, pelajar lelaki berusia 14 tahun itu ditahan kelmarin di sekitar Kajang dan direman dua hari sehingga esok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan, dimana jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-dua sekali.
“Manakala bagi Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara sehingga tempoh dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Naazron berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk pertuduhan di Mahkamah Kajang esok.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Amirul Wahid di talian 0135495236 bagi membantu siasatan.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video berdurasi 38 saat memaparkan pertengkaran antara dua individu bertubuh kecil dan lebih besar, malah kelihatan salah seorang daripadanya menumbuk pipi seorang lagi.































