Beberapa barangan peribadi warga asing yang dirampas AKPS menerusi operasi khas KLIA Terminal 1, semalam. – Ihsan AKPS
PETALING JAYA: Seramai 99 warga asing ditolak untuk memasuki ke negara ini selepas gagal melepasi saringan keselamatan dalam satu operasi khas dijalankan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.
Menurut Utusan Malaysia, operasi intensif yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 4.30 petang itu menyasarkan penerbangan berisiko tinggi, melibatkan pemeriksaan rapi terhadap lebih 400 individu.
Menurut kenyataan AKPS, antara warga asing yang diarahkan pulang ialah 80 lelaki dari Bangladesh, 10 dari India dan sembilan dari Pakistan, susulan kegagalan mereka memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.
“Kesemua 99 individu tersebut telah melalui proses dokumentasi lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing mengikut prosedur undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, operasi tersebut diketuai oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti dan melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan serta temu bual individu secara terperinci.
“Penguatkuasaan sedemikian akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa sebagai langkah proaktif membendung aktiviti sindiket penyeludupan manusia (counter-setting) dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“AKPS komited memastikan sempadan negara terus selamat dan bebas daripada elemen yang boleh mengancam ketenteraman serta keselamatan negara,” katanya.


































