BEIJING: Ribuan lelaki didakwa berkongsi gambar dan video intim teman wanita mereka tanpa kebenaran melalui aplikasi pemesejan Telegram, lapor media China sekali gua mencetuskan kemarahan meluas terhadap perbuatan merakam secara rahsia.
Menurut Utusan Malaysia, pornografi adalah haram di China, dan sikap sosial konservatif terhadap wanita masih menjadi norma, sering diperkuat melalui media milik kerajaan dan budaya popular.
Kes ini tercetus selepas sebuah universiti di China bulan ini membuang seorang pelajar wanita kerana didakwa “menjejaskan maruah negara” berikutan videonya dimuat naik oleh seorang pemain e-sukan dari Ukraine di Telegram.
Akhbar milik kerajaan Southern Daily melaporkan minggu ini, seorang wanita menemui gambar dirinya yang diambil secara rahsia telah dikongsi dalam satu forum Telegram yang mempunyai lebih 100,000 ahli, kebanyakannya lelaki warga China.
Ahli forum tersebut juga dilaporkan berkongsi gambar teman wanita, bekas teman wanita dan isteri mereka, menurut ulasan dalam Guangming Daily, sebuah akhbar yang disokong oleh Parti Komunis pemerintah China.
Pendedahan mengenai kumpulan tersebut mencetuskan kemarahan besar dalam talian.
“Kami bukan ‘kandungan’ yang boleh dimuat naik, ditonton dan dijadikan fantasi sesuka hati.
“Kita tidak boleh terus berdiam diri. Kerana mangsa seterusnya mungkin saya, atau mungkin anda,” kata satu komen di Red Note, aplikasi media sosial serupa dengan Instagram.


































