Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda menggesa agar lebih banyak ruang diberi kepada wanita untuk menjadi calon Ahli Undangan Negeri (ADUN), Senator dan menjadi pemimpin dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Mohon diberikan ruang untuk lantikan ADUN, Senator dan memimpin GLC.
“Selain itu, saya juga mohon agar ADUN yang terdiri daripada wanita seramai enam orang, bersama seorang ADUN lantikan bukan dikurangkan tapi ditambah bilangan calon pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) ini, dan sudah tentu ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Rendaan juga harus dikekalkan di DUN Pintasan.
“Libatkan atau berikan kuasa kepada kami untuk menjadi agen penyampai bantuan kerajaan khususnya berkaitan wanita, belia dan golongan rentan sebagai rakan strategik bersama agensi Kerajaan Negeri,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Persidangan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurut Redonah, usaha berterusan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan penglibatan wanita menerusi pelbagai insentif juga adalah bukti keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Semasa persidangan tahun lalu telah direalisasikan melalui Belanjawan Sabah 2025 dengan peruntukan lebih RM 21 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Yayasan Usaha Maju Sabah Credit dan Institut Pembangunan Sabah (IDS) untuk memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang ekonomi dan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, Wanita Gagasan Rakyat juga sentiasa meneruskan gerak kerja melalui program ziarah Salam Sayang yang bertujuan menjaga pengundi secara berterusan di setiap DUN.
“Sejak dari awal lagi penubuhan Gagasan Rakyat, Wanita sudah turun padang menyantuni dan mendekati segenap lapisan masyarakat, begitu juga dengan Pemuda yang secara sistematik dan pantas melaksanakan pelbagai program, serta Beliawanis yang turut berterusan menyantuni, mendekati dan bersama dengan wanita muda termasuklah program bersama pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Wanita bukan sekadar perayu undi dan tukang kasih penuh dewan setiap kali ada program, Pemuda bukan sekadar tukang sorak dan angkat bendera, Beliawanis bukan sekadar bunga hiasan, tetapi kami semua menyumbang tenaga dan idea bersama pemimpin yang kami idolakan, Ketua Menteri selaku Presiden Parti dan juga Timbalan Presiden Parti,” jelas Redonah lagi.
Tambah beliau, masa depan Sabah adalah bergantung kepada kepimpinan dan hala tuju negeri masa kini.
“Beri ruang kepada kami untuk mencorak dasar, membentuk keputusan dan bersama membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi agar Sabah Terus Maju Jaya.
“Masa depan tidak boleh dibina dengan menunggu, sebaliknya mesti dimulakan sekarang.
“Selain itu, saya juga ingin megajak semua untuk memanfaatkan media sosial dan memaksimumkan penggunaan platform media sosial untuk mempromosi perjuangan parti,” ujar beliau lagi.


































