BEIJING: Seorang pengetua tadika di barat laut China ditahan selepas lebih 200 kanak-kanak jatuh sakit disyaki keracunan plumbum daripada sajian kek kurma dan roti jagung.
Menurut Utusan Malaysia, penyiar rasmi CCTV melaporkan, siasatan mendapati terdapat paras plumbum ‘tidak normal’ dalam darah 233 kanak-kanak di Tadika Peixin, bandar Tianshui.
Daripada jumlah itu, 201 kanak-kanak sedang menerima rawatan di hospital.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan terhadap isu keselamatan makanan di China, yang pernah dilanda skandal besar pada 2008 apabila susu formula tercemar menyebabkan ratusan ribu bayi jatuh sakit dan dikaitkan dengan enam kematian.
Pihak berkuasa bandar mula menyiasat pengetua tadika tersebut minggu lalu, selepas menerima laporan bahawa ramai murid mengalami simptom keracunan.
Pengetua tadika dan seorang pelabur ditahan bersama enam individu lain.
Dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan, menurut laporan.
Siasatan mendapati, pengetua terbabit membenarkan pekerja dapur menggunakan pewarna yang dibeli dalam talian untuk menghasilkan makanan.
Bahan tersebut mengandungi plumbum dan jelas dilabel sebagai tidak boleh dimakan.
Ibu bapa memberitahu akhbar Jimu News, bahawa anak mereka mengalami sakit perut, loya dan beberapa kes, gigi menjadi hitam, akibat keracunan plumbum daripada hidangan makanan di tadika.
Ujian makmal mendaoati kek kukus kurma dan roti jagung yang disajikan kepada kanak-kanak mengandungi tahap plumbum melebihi had keselamatan makanan lebih 2,000 kali ganda.
Kek yang dihidangkan semasa sarapan menunjukkan bacaan 1,052 mg/kg, manakala roti jagung pula mencatat 1,340 mg/kg.
Had maksimum plumbum yang dibenarkan dalam makanan berasaskan gandum dan kanji menurut standard keselamatan China adalah 0.5 mg/kg.


































