Isnin Aliasnih
KOTA KINABALU: Seramai 643 peniaga gerai kecil tepi jalan di seluruh Sabah telah dikenal pasti layak menerima bantuan khas one-off sebanyak RM5,000 daripada Kerajaan Negeri.
Pembantu Menteri I kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, data itu diperoleh berdasarkan rekod kementerian setakat April 2025.
“Mereka yang layak adalah pemilik lesen perniagaan yang sah serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Mac 2025,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Isnin berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk membantu golongan peniaga kecil yang berlesen dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan cabaran ekonomi semasa.
Katanya, Kementerian Kewangan telah menyalurkan peruntukan khas kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, berdasarkan jumlah penerima layak di kawasan masing-masing.
“Penyaluran bantuan akan dilaksanakan oleh PBT terlibat dan akan diserahkan kepada penerima secara tunai (lump sum),” jelas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian bantuan itu hanya melibatkan peniaga yang memiliki lesen sah dan beroperasi secara tetap di lokasi yang telah ditentukan oleh PBT.
Katanya, bantuan tersebut tidak melibatkan peniaga tanpa lesen atau yang beroperasi secara berpindah-randah.
Inisiatif ini menurutnya sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa ekonomi komuniti setempat, khususnya golongan peniaga mikro dan kecil di peringkat akar umbi.
Kerajaan juga berharap agar bantuan itu dapat meringankan beban peniaga dan membantu mereka meningkatkan semula perniagaan masing-masing pasca pandemik.
“Ini adalah antara langkah langsung kerajaan dalam memastikan tiada kelompok masyarakat, terutama peniaga kecil, yang terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi,” katanya.


































