Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 yang bertujuan memperkukuh kelestarian fiskal serta memastikan kerangka percukaian negeri kekal relevan dan berkesan dalam landskap ekonomi semasa.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pindaan itu penting memandangkan sumbangan besar Cukai Jualan Negeri (CJN) terhadap hasil keseluruhan negeri.
“Cukai Jualan Negeri merupakan sumber hasil tambahan yang diserah hak kepada Sabah dan Sarawak di bawah Bahagian V, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. Sabah telah mewartakan Enakmen Cukai Jualan Negeri pada tahun 1998 dan Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri pada tahun 1999,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan.
Masidi berkata, kali terakhir Enakmen ini dipinda adalah pada tahun 2018, dan ketika itu hanya tiga barangan dikenakan cukai iaitu minyak sawit mentah (CPO), tiket loteri dan mesin slot.
“Sejak itu, enam lagi produk telah ditambah antara 2020 hingga 2025 – iaitu produk petroleum, komoditi perikanan, besi buruk, pasir silika, biojisim kelapa sawit serta emas dan perak yang dilombong di Sabah – menjadikan jumlah keseluruhan barangan dikenakan cukai sebanyak sembilan,” katanya.
Sehingga 30 Jun 2025, terdapat 386 pemegang lesen CJN berdaftar di Sabah, manakala jumlah kutipan cukai jualan negeri sejak ia dilaksanakan pada tahun 1999 telah mencecah RM32.26 bilion.
“Pada tahun 1999, CJN hanya menyumbang RM89 juta, iaitu sekitar 7 peratus daripada jumlah hasil negeri. Namun pada tahun 2024, jumlah ini melonjak lebih 3,000 peratus kepada kira-kira RM3.03 bilion – mewakili 44.5 peratus daripada hasil keseluruhan negeri, dengan kutipan purata sekitar RM250 juta sebulan,” katanya.
Masidi menegaskan, peningkatan ketara ini menjadikan CJN bukan sahaja penting, tetapi menjadi tonggak utama dalam menjamin kesinambungan fiskal dan menyokong pembangunan ekonomi negeri.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pembayar CJN atas sumbangan mereka dalam merancakkan ekonomi dan pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pindaan terhadap enakmen tersebut bertujuan memastikan undang-undang percukaian negeri sentiasa relevan dan responsif terhadap perubahan landskap ekonomi serta struktur industri.
“Pindaan ini juga akan memperkemas pelaksanaan dasar, meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian, menangani potensi ketirisan hasil serta memperkukuh keadilan, ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus hasil negeri,” katanya.
Masidi menjelaskan, pendekatan ini mencerminkan sikap Kerajaan Negeri yang tegas, progresif dan berpandangan jauh dalam menjaga kepentingan sumber hasil utama negeri.
“Ia juga mengambil kira kemudahan dan keadilan kepada pembayar cukai bagi mengurangkan beban kewangan mereka, menggalakkan pematuhan dan menyediakan saluran yang jelas untuk menyelesaikan sebarang pertikaian,” katanya.
Beliau memaklumkan sebanyak 37 pindaan telah diluluskan melalui Rang Undang-Undang ini, yang akan memberikan manfaat jangka panjang kepada negeri serta komuniti pembayar cukai.
Masidi berkata, pindaan ini juga akan membolehkan Kerajaan bertindak lebih proaktif dalam menghadapi perubahan semasa dan terus mengamalkan tadbir urus kewangan awam yang baik.


































