JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sebuah syarikat pembekalan tar jalan dicari oleh majikannya kerana disyaki mencuri wang mencecah RM10 juta sepanjang 20 tahun bekerja di syarikat tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Pengurus Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Hoe Hong Seng berkata, wanita berkenaan, Hoh Yin Tai, 58, telah menghilangkan diri sejak November 2023 selepas syarikat mengetahui perbuatannya.
“Wanita itu telah bekerja sebagai pengurus sejak 2004 lagi. Bagaimanapun, kita mula mengesyaki dia melakukan pecah amanah dengan tidak memasukkan bayaran tunai ke akaun syarikat pada 2023.
“Kita syak dia terlibat pecah amanah wang berjumlah lebih RM10 juta sejak dia mula bekerja. Bagaimanapun bukti kukuh resit diperoleh sejak 2018 menunjukkan sebanyak RM2.5 juta telah dilarikan, selebihnya resit telah dihilangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini semalam.
Katanya, sebelum wanita itu menghilangkan diri, syarikat ada bertanyakan tentang kehilangan sejumlah wang tersebut, namun dia menawarkan memulangkan RM100,000.
“Sudah tentu syarikat menolak, dia sudah larikan wang berjuta-juta, mana boleh hanya bayar semula RM100,000. Tidak lama, dia hilangkan diri.
“Usaha menjejakinya gagal sehingga kini. Suami wanita itu mendakwa sudah bercerai, namun tiada dokumen rasmi , manakala anak-anaknya masih ada di sini. Kami yakin dia masih berada dalam negara,” katanya.
Pemilik dan pengarah syarikat, Koh Chew Siee berharap wanita itu menghubungi pihak nya untuk penyelesaian terbaik.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu pada 17 Januari tahun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan.


































