KUALA LUMPUR: Pemeriksaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati sebanyak 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak semalam sehingga mengorbankan nyawa 15 orang.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, daripada 18 saman itu, sebanyak 13 saman dikeluarkan atas kesalahan memandu laju, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar manakala selebihnya kesalahan tiada lampu brek ketiga dan tiada lampu kemalangan.
Bagaimanapun, katanya, kesemua saman tersebut belum diselesaikan pemandu terbabit.
“Siasatan juga mendapati bas terbabit turut mempunyai rekod sebanyak 21 saman dikeluarkan atas kesalahan trafik.
“Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuh hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, PDRM akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan membabitkan bas sewa khas pelajar UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) itu.
Semalam, Mohd. Yusri dilaporkan berkata, PDRM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan menyiasat nahas itu secara menyeluruh
“Kita akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin untuk kita mendakwa pemandu (bas) terbabit di mahkamah.
“Kita akan menyiasat dalam pelbagai sudut dari segi rekod (kesalahan), latar belakang, kegiatan dan kerjaya dia sebelum ini, kita akan siasat semuanya,” katanya.
Seramai 15 pelajar UPSI meninggal dunia manakala tujuh mengalami cedera parah selepas bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan pada pukul 1.15 pagi, semalam.
Bas dipercayai pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar Perodua Alza dan terbabas.


































