WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump bertindak memadam kisah serta laporan berkaitan golongan minoriti dari laman web dasar Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah memansuhkan semua program kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).
Menurut Utusan Malaysia, tindakan pentadbiran Trump terhadap kepelbagaian dalam kerajaan AS kini menghapuskan program keadilan kaum yang dibina selama beberapa dekad.
Presiden Republikan itu menjadikan pemansuhan semua program DEI kerajaan persekutuan sebagai satu daripada tindakan pertamanya untuk penggal kedua, yang konon membawa kepada diskriminasi haram serta tidak bermoral.
Tindakan tegas terhadap inisiatif DEI di Pentagon meliputi pelbagai langkah, termasuk larangan merekrut anggota tentera transgender serta memadam keseluruhan dokumen dan imejnya dari laman web rasmi badan itu.
Awal bulan ini, ahli sejarah Perang Saudara Kevin M. Levin melaporkan Tanah Perkuburan Negara Arlington mula menghapuskan sejarah veteran perang berkulit hitam, Hispanik, dan wanita dari laman web rasminya.
“Ia adalah hari yang menyedihkan apabila tentera sendiri terpaksa berpaling daripada berkongsi kisah lelaki dan wanita berani yang berkhidmat dengan penuh kehormatan,” kata Levin.
Pentadbiran Trump memadam ribuan imej dan artikel berkaitan wira perang, pencapaian ketenteraan pertama serta tokoh Afrika-Amerika terkenal, menurut pangkalan data diperoleh Associated Press.
Antara lebih 26,000 item yang disenarai untuk dihapuskan ialah rujukan kepada Enola Gay, pesawat AS yang menjatuhkan bom atom pertama di Hiroshima pada 1945, dipercayai kerana nama pesawat itu secara tidak sengaja mencetuskan carian digital berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Kandungan lain yang dipadam oleh Pentagon termasuk kisah mengenai Tuskegee Airmen, kumpulan juruterbang tentera Afrika-Amerika pertama serta lagenda besbol dan veteran perang, Jackie Robinson.
Langkah Trump menamatkan program DEI bukan sahaja memberi kesan kepada kerajaan persekutuan, tetapi juga sektor korporat.
Sejak memenangi pilihan raya tahun lalu, beberapa syarikat utama AS, termasuk Google, Meta, Amazon dan McDonald’s, turut menghapuskan sepenuhnya atau mengurangkan secara drastik program DEI mereka.


































