Majlis Sambutan Krismas anjuran STARSABAH P.170 Tuaran.
TUARAN: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Bahagian P.170 Tuaran menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor untuk terus memimpin Kerajaan Negeri Sabah.
Ketua Bahagian STARSABAH N.15 Kiulu, Terence Sinti berkata, sejak Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran selepas Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah menunjukkan peningkatan yang ketara.
Antara pencapaian utama ialah peningkatan hasil negeri, kemasukan pelaburan asing dan domestik, serta pertumbuhan ekonomi yang positif.
“Sejak tahun 2021, Sabah mencatatkan peningkatan hasil kerajaan negeri daripada RM5.449 bilion kepada RM6.97 bilion pada tahun 2023. Sabah juga kini berada di kedudukan ke-7 tertinggi dalam nilai pelaburan di Malaysia. Ini adalah bukti jelas bahawa di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah berada di landasan yang tepat untuk terus maju menjelang tahun 2025,” kata Terence.
Beliau menyampaikan pandangan ini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Krismas anjuran STARSABAH P.170 Tuaran baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Terence turut menyatakan bahawa STARSABAH P.170 Tuaran telah bersiap sedia menghadapi pilihan raya yang dijangka diadakan pada tahun hadapan. Semua jentera pilihan raya STAR di peringkat DUN Sulaman, DUN Dalit, DUN Tamparuli, dan DUN Kiulu telah bersedia untuk turun padang membantu kempen bagi memastikan kemenangan calon-calon GRS di kawasan Parlimen Tuaran.
Majlis itu turut meraikan pelantikan Senator Datuk Edward Linggu sebagai Ahli Dewan Negara. Terence menyifatkan pelantikan itu sebagai penghormatan kepada STARSABAH, khususnya di Tuaran.
“Saya yakin Senator Datuk Edward Linggu akan memainkan peranan penting dalam membawa suara rakyat Tuaran ke peringkat persekutuan. Dengan pengalaman yang dimilikinya, beliau mampu memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata Terence.
Majlis Sambutan Krismas tersebut dihadiri sekitar 150 orang, termasuk Edward sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Dr. Paul Porodong (Pengarah Strategik STARSABAH), Datuk Raymond Tombung (Penasihat STARSABAH), Jordan Jude Ellorn (Ketua Exco Wiramuda STARSABAH), Jinitoh Sontori (Ketua Bahagian STARSabah Tamparuli), dan Datuk Kapitan Stephen Teo (Ketua Bahagian STARSABAH Karambunai).
Hadir sama ialah Dr. Prof. Hendry Banting (Perunding Media Khas STARSABAH), Datuk Kalakau Untul (Timbalan Presiden Dusun Sabah Bersatu), Madin Anak (PPM Tamparuli), Ronny Soon dan Joanna Sue Henley Rampas.
Acara ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sambutan Krismas dan sesi kesyukuran yang penuh meriah.






























