UTTAR PRADESH: Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terjunam dari jambatan yang belum siap dan jatuh ke dasar sungai ketika menggunakan aplikasi Google Maps untuk navigasi.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, mangsa sedang dalam perjalanan dari Noida ke Bareilly untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan apabila kenderaan mereka terbabas dari jambatan tersebut di atas Sungai Ramganga.
Mangsa dipercayai mengikuti panduan daripada aplikasi navigasi yang membawa mereka ke jambatan gelap dan tidak lengkap sebelum dilaporkan terjunam lebih 15 meter ke dasar sungai, lapor The Times of India.
Penduduk Kampung Allapur menemui kereta remuk itu bersama mayat tiga lelaki yang terperangkap di dalamnya pada pagi 24 November, sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
“Pada sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan), kami menerima laporan mengenai sebuah kereta rosak yang ditemui di Sungai Ramganga,” kata jurucakap polis.
Polis yang tiba di lokasi menemui sebuah kereta jenis Wagon R, dipercayai teksi, yang telah jatuh dari jambatan tersebut.
Dua mangsa dikenal pasti sebagai pasangan adik-beradik Nitin dan Ajit, masing-masing berusia 30 tahun, manakala mangsa ketiga dikenali sebagai Amit, 40 tahun.
Pegawai polis Faridpur, Ashutosh Shivam memaklumkan, sebahagian jambatan tersebut telah runtuh ke dalam sungai semasa banjir pada awal tahun 2024, namun perubahan itu tidak dikemas kini di Google Maps.
Tambahan pula, tiada penghadang keselamatan atau papan amaran diletakkan di jambatan berkenaan.
Kejadian itu mencetuskan kemarahan keluarga mangsa dan penduduk setempat yang menyalahkan Jabatan Kerja Raya serta pihak berkuasa tempatan kerana gagal menutup jambatan tersebut.
Empat jurutera dari Jabatan Kerja Raya serta seorang pegawai dari Google Maps kini membantu siasatan pihak polis, menurut The Economic Times.


































