Pencemaran udara meningkat di kawasan jalan raya yang penuh sesak di wilayah Amritsar di India
NEW DELHI: India mengetatkan sekatan terhadap aktiviti pembinaan dan pergerakan kenderaan bagi menangani isu kualiti udara yang semakin buruk di ibu negara New Delhi dan kawasan sekitarnya.
Menurut Utusan Malaysia, tindakan baharu yang berkuat kuasa pagi semalam melibatkan larangan lori diesel memasuki New Delhi, penutupan institusi pendidikan serta pelaksanaan kerja dari rumah seperti disarankan pentadbiran tempatan.
Selain itu, pihak berkuasa akan menjalankan penyiraman air bercampur bahan penahan habuk di jalan raya dan menggunakan mesin penyapu mekanikal bagi mengurangkan debu.
Menurut kenyataan kerajaan selepas mesyuarat tergempar panel pegawai negeri, keadaan meteorologi seperti kelajuan angin rendah menjadi punca utama lonjakan mendadak Indeks Kualiti Udara (AQI) yang mencecah 907 pagi semalam.
Jumlah tersebut melepasi 60 kali ganda paras maksimum harian yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Panel berkenaan turut mengemukakan pelan tindakan lapan perkara dan menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan, kardiovaskular atau penyakit kronik lain untuk kekal berada di dalam rumah.
Menurut agensi ramalan cuaca di bawah Kementerian Sains Bumi, sekitar 38 peratus pencemaran udara di New Delhi tahun ini berpunca daripada pembakaran sisa tanaman padi di negeri-negeri jiran seperti Punjab dan Haryana.
New Delhi kini bergelut dengan masalah campuran asap dan kabus bertoksik yang kerap berlaku setiap kali musim sejuk apabila udara dingin memerangkap habuk, asap kenderaan, dan pembakaran sisa ladang haram.
Pegawai menyalahkan pencemaran tinggi yang digabungkan dengan kelembapan, angin dan suhu rendah sebagai punca utama keadaan itu.
Jabatan Meteorologi India meramalkan pencemaran dan kelajuan angin rendah akan berterusan sehingga Sabtu manakala suhu minimum di bandar itu juga menurun kepada 14 darjah Celsius sejak semalam.


































