Rubin Balang
KOTA KINABALU: Hakisan serius Sungai Padas kini mengancam kehidupan penduduk di beberapa kawasan di Tenom dan Kemabong.
ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, berkata, hakisan tersebut merupakan kesan dari runtuhan tebing Sungai Padas akibat banjir besar di Tenom pada tahun 2021 dan 2022.
Beliau bersama Pegawai Daerah Tenom, Pegawai Daerah Kecil Kemabong, serta pegawai dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Tenom telah menyaksikan sendiri bahaya runtuhan tebing Sungai Padas, terutama di kawasan pekan Kuala Tomani yang memiliki sekitar 7,000 penduduk.
Selain itu, kawasan Kuala Sungai Api di KM16.5 juga terancam, di mana jalan raya utama yang menghubungkan Tenom dan Sipitang berisiko runtuh dan terputus.
“Kami khuatir, tiada jalan alternatif lain jika jalan penghubung ini terputus,” katanya.
Hakisan tebing Sungai Padas di Sindungon Paal Sebrang dan Kampung Ponontomon, Tenom turut mengancam keselamatan penduduk dan rumah-rumah mereka, kerana hakisan hampir mencapai kawasan perkampungan tersebut.
“Kampung Saga Laut juga terancam, kerana hakisan tebing Sungai Padas semakin dekat dengan kawasan perumahan penduduk kampung,” tambah Rubin sambil menyeru agar tindakan segera diambil.
Beliau menyuarakan ini semasa membahas Belanjawan 2025 Sabah pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Rubin turut menyoroti masalah peruntukan pembangunan untuk Sabah dari Kerajaan Persekutuan yang kerap kali lewat disalurkan. Kelewatan ini menyulitkan pelaksanaan projek pembangunan yang sangat diperlukan oleh rakyat Sabah.
“Oleh itu, kami mencadangkan agar mana-mana peruntukan yang tidak sempat dibelanjakan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Peruntukan Persekutuan harus tiba lebih awal ke Sabah agar dapat digunakan dalam tahun kewangan yang sama,” katanya.
Rubin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmennya dalam memulakan pembayaran pemberian khas interim kepada Kerajaan Sabah mulai tahun ini.
Selain itu, Rubin mengusulkan agar daerah Tenom dan Kemabong dimasukkan dalam program agensi baru, Lembaga Padi dan Beras Sabah, kerana kedua-dua daerah ini memiliki potensi untuk penanaman padi sawah dan padi bukit.
Di samping itu, beliau juga mengangkat isu bekalan elektrik di Tenom dan Kemabong. Menurutnya, gangguan bekalan elektrik sering terjadi meskipun terdapat dua loji hidroelektrik di kawasan tersebut.
Rubin turut meminta Jabatan Air mempercepat pembangunan loji penapis dan rawatan air baru untuk menyediakan air bersih dan mencukupi bagi penduduk setempat.
“Rakyat sudah lama berharap agar Jabatan Air menyediakan bekalan air yang bersih dan mencukupi, dengan sumber air dari sungai yang tidak tercemar,” ujarnya.
Selain itu, Rubin menyoroti pentingnya penyelesaian pembinaan jalan raya Kemabong-Gumisi Fasa II yang melalui beberapa kampung. Jalan ini penting untuk memudahkan akses penduduk di kala banjir besar, seperti yang terjadi pada tahun 2021 dan 2022.
Rubin juga menyarankan peningkatan jalan Kg. Korolok ke jalan aspal demi kemudahan penduduk dan guru-guru yang bertugas di SK Korolok. Jalan Kg. Tilis yang curam perlu dinaik taraf untuk keselamatan pengguna, terutamanya bagi penduduk Kg. Tilis dan guru-guru di SK Kg. Tilis.
Penduduk kampung terpencil, Kg. Sumambu turut berharap jalan mereka yang sejauh 9 KM dapat dinaik taraf dari jalan tanah merah ke jalan gravel atau diaspal.


































