SINGAPURA: Pengasas sebuah syarikat dagangan minyak, Hin Leong Trading, telah dijatuhi hukuman penjara hampir 18 tahun kerana menipu bank gergasi HSBC melibatkan jutaan dolar dalam satu daripada kes penipuan paling serius di republik ini.
Menurut Utusan Malaysia, Lim Oon Kuin, 82, yang lebih dikenali sebagai O.K. Lim, didapati bersalah pada Mei lalu dalam kes yang mencalar reputasi Singapura sebagai hab dagangan minyak utama di Asia.
Hakim Mahkamah Negeri, Toh Han Li, menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun enam bulan ke atas Oon Kuin dan menyifatkan jenayah tersebut sebagai berpotensi meruntuhkan kepercayaan terhadap industri dagangan minyak Singapura.
Jumlah kerugian yang terlibat, menurut hakim, berada dalam kategori tertinggi bagi kes penipuan di pulau ini yang terkenal sebagai hab kewangan global.
Bagaimanapun, hakim mengurangkan hukuman setahun kerana faktor usia Oon Kuin, namun tidak memberikan pengecualian berdasarkan masalah kesihatannya kerana berpendapat perkhidmatan Penjara Singapura mempunyai kemudahan perubatan yang mencukupi.
Pendakwa raya memohon hukuman penjara 20 tahun, sambal menyifatkan kes ini sebagai satu daripada kes penipuan kewangan perdagangan paling serius yang pernah didakwa di Singapura.
Sementara itu, pihak pembelaan meminta hukuman tujuh tahun, dengan alasan kesalahan Oon Kuin tidak menyebabkan kerugian besar kepada sektor dagangan minyak serta mengambil kira usia dan masalah kesihatannya.
Oon Kuin menghadapi 130 tuduhan jenayah melibatkan ratusan juta dolar, namun pendakwa hanya mendakwanya atas tiga tuduhan utama iaitu dua kesalahan menipu HSBC dan satu kesalahan mengarahkan seorang eksekutif Hin Leong Trading untuk memalsukan dokumen.
Pendakwa raya mendakwa Oon Kuin memperdaya HSBC untuk mengeluarkan dana hampir AS$112 juta (RM500.3 juta) dengan mendakwa syarikatnya telah menjalankan kontrak jualan minyak dengan dua syarikat.
Beliau yang berhijrah dari China sebelum menubuhkan Hin Leong pada tahun 1965, membangunkan syarikat itu daripada hanya sebuah lori penghantaran kepada salah satu pembekal minyak terbesar untuk kapal-kapal di Singapura.
Namun, empayar itu runtuh pada 2020 apabila pandemik Covid-19 melanda pasaran minyak, mendedahkan masalah kewangan syarikat tersebut.
Syarikat itu memainkan peranan penting dalam menjadikan republik ini sebagai pelabuhan pengisian minyak kapal terbesar di dunia dan berkembang dalam sektor penyewaan serta pengurusan kapal dengan memiliki lebih 150 kapal.


































