KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) tahun depan untuk perbelanjaan operasi serta pelaksanaan pelbagai program bagi membangun, memperkasa dan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara program yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan ialah Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak- Kanak, Program Flagship Santuni Wanita, Program Pembangunan Keusahawanan Wanita, Program Kepekaan Gender di Luar Bandar, Jelajah Klinik Guaman & Kaunseling JHEWA serta pemberian geran kepada 186 badan bukan kerajaan wanita yang berdaftar dengan JHEWA.
“Kerajaan Sabah amat prihatin dan akan memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata. Menyedari hakikat tersebut, lebih ramai wanita dilantik menyertai dalam pembuatan dasar dan keputusan di pelbagai sektor termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan Agensi-Agensi Kerajaan.
“Setakat ini, berdasarkan statistik Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), seramai 36 orang atau 25.71 peratus wanita terlibat secara langsung sebagai pembuat keputusan dalam Perkhidmatan Awam Negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin.
Masidi berkata, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Usaha Maju (YUM) diperuntukkan sebanyak RM11.6 juta untuk meneruskan Program Kredit Mikro kepada peniaga IKS khususnya golongan wanita bagi membantu golongan berpendapatan rendah agar dapat menjana pendapatan keluarga melalui peniagaan kecil-kecilan yang diusahakan.
Katanya, seramai 46,231 orang telah menyertai program ini sejak YUM ditubuhkan. Daripada jumlah tersebut, seramai 18,597 orang masih aktif mengikuti program ini.
“Pada tahun 2025, YUM menyasarkan pengeluaran pinjaman berjumlah RM77.39 juta dan pinjaman ini dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 12 ribu orang peminjam dengan 20 peratus daripadanya merupakan peserta baharu. YUM merancang untuk memperluas kaedah pembayaran balik pinjaman secara digital di kalangan peminjam khususnya melalui penggunaan Aplikasi Sabah Pay.
“Selain daripada program yang dilaksanakan di bawah YUM, projek perintis Program Keusahawanan Wanita Muda akan diperkenalkan melalui pemberian pinjaman mikro dengan kadar faedah yang rendah berbanding program yang lain.
“Program dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah dan Institusi Kajian Pembangunan Sabah (IDS) akan dilaksanakan demi memperkasa dan melahirkan wanita yang berkreativiti dan berinovasi.
“Program ini akan menawarkan peluang kepada wanita muda yang berhasrat menceburi bidang perniagaan agar dapat menjana pendapatan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.


































