PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelia ujian dron bunuh diri dan mengarahkan pengeluaran besar-besaran senjata udara itu.
Menurut Utusan Malaysia, media kerajaan melaporkan kelmarin, beliau menegaskan, pengenalan dron sedemikian di seluruh dunia menuntut perubahan segera dalam teori ketenteraan.
Sebelum ini, Kim menyelia ujian dron bunuh diri, di tengah kerjasama ketenteraan dengan Russia, menimbulkan persoalan sama ada beliau menerima bantuan teknikal daripada Moscow untuk membangunkannya.
Juga dikenali sebagai peluru berlegar, senjata itu digunakan secara meluas dalam peperangan di Ukraine dan juga di Asia Barat.
“(Kim) menekankan keperluan untuk membangunkan sistem pengeluaran bersiri secepat mungkin dan memulakan pengeluaran besar-besaran sepenuhnya,” kata agensi berita negara, KCNA.
Beliau berkata, persaingan untuk menggunakan dron bagi tujuan ketenteraan semakin pesat di seluruh dunia, dengan pihak berkuasa tentera mungkin mengiktiraf kejayaan mereka dalam konflik pelbagai skala.
“Perubahan objektif sebegini mendesak untuk mengemas kini banyak bahagian teori, amalan dan pendidikan ketenteraan,” kata Kim seperti dilapor KCNA.
Korea Utara menghantar dron melintasi sempadan ke Selatan, terbang selama beberapa jam di kawasan penting termasuk Seoul dan melepasi zon larangan di sekitar pejabat Presiden.
Ia mendorong Korea Selatan untuk menggunakan senjata bagi menembak jatuh dron Korea Utara.
Baru-baru ini, Korea Utara dan Russia meratifikasi perkongsian strategik komprehensif yang ditandatangani oleh pemimpin mereka pada Jun, termasuk pakatan pertahanan bersama.


































