MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin menegaskan Moscow bersedia untuk berdialog dengan Donald Trump yang baru memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Menurut Utusan Malaysia, dalam kenyataan awam pertamanya sejak kemenangan Trump, Putin memuji keberanian pemimpin AS itu semasa cubaan membunuhnya pada perhimpunan kempen di Butler, Pennsylvania, 14 Julai lalu.
“Pada pendapat saya, dia berkelakuan dengan cara yang betul, dengan berani seperti lelaki sejati,” kata Putin di kelab perbincangan Valdai, sebuah forum antarabangsa di pusat peranginan Laut Hitam Russia di Sochi.
Ditanya sama ada beliau terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Trump, pemimpin Russia itu mengakui sudah bersedia.
Putin, 72, juga berkata, komen Trump mengenai keinginannya untuk memulihkan hubungan dengan Russia dan membantu menamatkan krisis Ukraine patut diberi perhatian.
Kremlin sebelum ini mengalu-alukan dakwaan Trump bahawa beliau boleh berunding untuk menamatkan konflik di Ukraine dalam masa 24 jam tetapi menekankan bahawa ia akan menunggu langkah dasar yang konkrit.
Mengenai apa yang dijangkakan daripada pentadbiran kedua Trump, Putin memberitahu tidak dapat mengagak apa yang akan berlaku.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku sekarang. Saya tidak tahu.
“Bagi beliau, ini masih penggal terakhir beliau sebagai Presiden. Apa yang akan Trump lakukan adalah urusannya,” kata Putin.
Ukraine dilaporkan berusaha untuk memberi tekanan kepada sekutunya bagi mendapatkan lebih banyak sokongan dalam perjuangan menentang Russia berikutan kemenangan Trump.
Trump mencadangkan Ukraine mungkin perlu menyerahkan wilayahnya kepada Russia untuk mencapai perjanjian damai, sesuatu yang ditolak Kyiv dan tidak pernah dicadangkan oleh Presiden AS, Joe Biden.
Sementara itu, laporan mengatakan Biden merancang untuk menyegerakan penghantaran berbilion dolar bantuan keselamatan ke Ukraine sebelum beliau meninggalkan Rumah Putih pada Januari ini.
Sejak pencerobohan besar-besaran Russia ke atas Ukraine pada 2022, AS sudah menyediakan lebih AS$64.1 billion (RM281 billion) bantuan ketenteraan kepada Ukraine, menurut data Jabatan Negara AS.


































