Pengalaman sebagai kaki beli-belah dalam talian tegar mendorong anak jati Singapura ini mengasaskan jenama pakaian dikenali sebagai Lovet sejak 10 tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tempoh sedekad itu bukan masa yang singkat, namun Germaine Foo masih mampu bertahan dalam industri fesyen yang bertapak di negara asalnya.
Wanita berusia 33 tahun ini bukan sekadar menghasilkan fesyen-fesyen terkini, malah sentiasa memastikan setiap rekaan memenuhi citarasa dan menawarkan kepuasan kepada pelanggan.
Antara rahsia kejayaannya ialah menerusi inovasi butang tambahan di samping leher dan pad boleh ubah yang dihasilkan pada baju serta dress.
Butang tambahan atau keselamatan di bahagian dalam baju itu dapat memastikan pakaian lebih rapi dan tidak mudah terbuka atau terdedah.

“Memahami suara hati pelanggan yang ada kalanya kurang selesa bila memakai baju berbutang dan terpaksa menyematkan pin untuk keselamatan, maka kami hasilkan butang tambahan bagi menyelesaikan dilema mereka.
“Bukan itu sahaja, menerusi top dan pad boleh ubah itu, pelanggan berpeluang menggunakan baju sama yang menawarkan gaya berbeza di bahagian depan dan belakang,” katanya yang memperluaskan pasaran jenama ke Malaysia menerusi stor pop up di ibu kota baru-baru ini.
Selain itu, setiap seluar dan dress turut didatangkan dengan lapisan dalam agar ia tidak kelihatan jarang ketika dipakai.
Istimewanya, fabrik kain dalam itu menggunakan rona nude khas dan bukan warna sembarangan.
Dalam masa sama, Germaine turut menggunakan kreativitinya menghasilkan busana serbaguna menerusi koleksi mix & match.
Koleksi terbaharu itu membolehkan pelanggan mengubah baju dengan menggunakan enam lengan berbeza.
Lengan itu ialah cap, flutter, puffy di samping tali reben, ruched dan ruffle.
Malah, dengan hanya menggunakan satu lengan atau tali, si pemakai boleh tampil dalam tujuh gaya berbeza yang mempesonakan.

































