NEW YORK: Saham Tesla melonjak dalam dagangan pra-pasaran selepas kemenangan Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) semalam.
Menurut Utusan Malaysia, saham Tesla naik melonjak lebih 15 peratus pada AS$289.44 (RM 1,277) dalam tawaran selepas waktu kerja sebelum loceng pembukaan di Wall Street.
Pelabur mengalu-alukan prospek kemenangan Trump apabila niaga hadapan Wall Street turut melonjak selepas bekas presiden itu mengalahkan Naib Presiden, Kamala Harris.
Pemilik Tesla, Elon Musk bersungguh-sungguh menyokong Trump semasa kempen melalui America PAC, sebuah jawatankuasa tindakan politik yang menyumbang berpuluh-puluh juta dolar dan menawarkan hadiah AS$1 juta (RM4.41 juta) kepada pengundi berdaftar di negeri-negeri utama.
“Saham Tesla meningkat disebabkan hubungan istimewanya dengan Trump.
“Trump banyak terhutang budi dengan Musk.
“Pelabur bertaruh bahawa keakraban mereka akan bertukar menjadi sesuatu yang positif untuk Tesla,” kata Penganalisis Saxobank, Andrea Tueni.
Ketika berkempen Trump menegaskan akan melantik jutawan teknologi itu dalam ketua suruhanjaya kecekapan kerajaan untuk menghapuskan pembaziran perbelanjaan bernilai trilion dolar.


































