Sejumlah 386 hariman hidup dalam kurungan di Vietnam pada penghujung 2023..
HANOI: Kira-kira 47 harimau, tiga singa dan seekor harimau kumbang mati di dua zoo di selatan Vietnam akibat virus selesema burung H5N1.
Menurut Utusan Malaysia, Agensi Berita Vietnam (VNA) melaporkan, kematian berlaku pada Ogos dan September di Taman Safari My Quynh di wilayah Long An dan Zoo Vuon Xoai di Dong Nai, berhampiran Bandar Ho Chi Minh.
Keputusan ujian daripada Pusat Diagnosis Kesihatan Haiwan Kebangsaan mendapati, kesemua haiwan tersebut mati akibat virus H5N1 jenis A.
Pihak zoo enggan mengulas ketika dihubungi AFP, namun tiada kakitangan yang bersentuhan rapat dengan haiwan itu mengalami gejala pernafasan.
Education for Nature Vietnam (ENV), sebuah pertubuhan yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan hidupan liar, berkata terdapat sejumlah 386 harimau hidup dalam kurungan di Vietnam pada penghujung 2023.
Katanya, kira-kira 310 ekor diletakkan di 16 ladang dan zoo persendirian, manakala selebihnya di kemudahan milik kerajaan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sejak 2022, terdapat peningkatan laporan wabak maut dalam kalangan mamalia yang disebabkan oleh virus influenza, termasuk H5N1.
Menurut laporan, jangkitan H5N1 terhadap manusia mengakibatkan gejala ringan hingga teruk dan dalam beberapa kes boleh menyebabkan kematian.
Vietnam melaporkan kepada WHO mengenai kes kematian manusia akibat virus itu pada Mac.
Pada 2004, puluhan harimau mati akibat selesema burung atau terpaksa dimusnahkan di ladang pembiakan terbesar di dunia di Thailand.


































