TAIPEI: Taiwan mengambil tindakan menutup operasi pejabat dan sekolah, dengan ribuan penduduk dipindahkan serta pembatalan penerbangan dan perkhidmatan feri menjelang ketibaan Taufan Krathon.
Menurut Utusan Malaysia, Krathon, yang membawa angin kencang dengan kelajuan 173 kilometer per jam (km/j) dan tiupan sehingga 209 km/jam dijangka melanda bandar pelabuhan Kaohsiung di barat daya pada awal pagi ini.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan, pada pukul 7 pagi kelmarin, waktu tempatan taufan itu berada kira-kira 160 km di barat daya Kaohsiung.
Datuk Bandar Kaohsiung, Chen Chi-mai, menggesa 2.7 juta penduduk bandar tersebut supaya kekal di dalam rumah kecuali jika perlu, dan menjauhi kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh berhampiran sungai, laut, dan kawasan pergunungan.
Selain itu, Chen turut memberi amaran Krathon juga mampu memberi ancaman seperti Taufan Thelma yang melanda bandar itu pada 1977, mengakibatkan 37 kematian dan 298 kecederaan.
Kebiasaannya, taufan jarang melanda pantai barat Taiwan yang padat penduduk, dan lebih cenderung mengenai kawasan timur yang berbukit dan menghadap Lautan Pasifik.
Pada Julai lalu, Taufan Gaemi menyebabkan tanah runtuh dan banjir, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, manakala semua bandar dan daerah di Taiwan telah mengisytiharkan cuti umum kelmarin.
Kementerian Dalam Negeri memaklumkan hampir 10,000 orang telah dipindahkan dari kawasan berisiko sebagai langkah berjaga-jaga. Penerbangan domestik dan antarabangsa turut dibatalkan.
Kementerian Pertahanan Taiwan menyatakan hampir 40,000 anggota tentera telah diletakkan dalam keadaan siap siaga.
Sebelum ini, Krathon telah menyebabkan kemusnahan di utara Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang, memaksa kira-kira 5,000 orang meninggalkan kediaman mereka dan menyebabkan banjir besar.


































