Presiden terpilih, Prabowo Subianto (kanan) dan Presiden Jokowi (tengah) dalam sidang akhbar di hadapan Istana Garuda di Nusantara.
NUSANTARA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merasmikan fasa kelapan projek infrastruktur di ibu negara baharu Nusantara melibatkan pelaburan asing sebanyak 1.15 trilion rupiah (RM407 juta).
Menurut Utusan Malaysia, Jokowi berkata, pelaburan asing terbaharu itu antaranya dibuat Australia untuk sektor pendidikan dan Russia serta China dalam sektor hartanah.
“Kemasukan pelaburan asing ini meyakinkan kita Nusantara adalah lokasi yang menarik dan berpotensi dibangunkan,” katanya semasa acara perasmian beberapa projek pembinaan di Nusantara, Kalimantan Timur, semalam.
Katanya, Australia menerusi Australian Independent School melabur sejumlah 150 bilion rupiah (RM40.7 juta) untuk sektor pendidikan di Nusantara.
Tambah beliau, China menerusi firma hartanah Delonix Group pula akan membina hotel, kompleks pejabat dan ruang perniagaan dalam projek bernilai 500 billion rupiah (RM136 juta).
Sementara itu, ujarnya, syarikat hartanah Russia, Magnum Estate dan dua lagi pelabur akan bekerjasama dengan firma tempatan bagi pelaburan sebanyak 500 billion rupiah (RM136 juta).
Menurut Jokowi seperti laporan agensi berita Antara, beberapa pelabur asing lain juga telah menandatangani surat niat (LoIs) untuk menyokong pembangunan Nusantara.
Bagaimanapun katanya, tidak semua LoIs dapat diluluskan dengan segera kerana perlu melalui proses pemilihan terlebih dahulu bergantung kepada kesesuaian konsep pembangunan.
“Pelan pelaburan mesti disesuaikan dengan keperluan di Nusantara untuk menyokongnya sebagai ekosistem yang baik serta lokasi yang menarik,” jelas Jokowi.


































