OTTAWA: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau terselamat daripada undi tidak percaya dalam ujian besar pertama kerajaan Liberal minoritinya ketika popularitinya mula merosot selepas sembilan tahun memegang jawatan.
Menurut Utusan Malaysia, berikutan perdebatan hangat ahli Parlimen, mereka mengundi 211-120 menentang usul Konservatif untuk menggulingkan Liberal dan memaksa pilihan raya mengejut.
Pemimpin Konservatif, Pierre Poilievre mengecam Trudeau kerana disifatkan gagal untuk menangani kos sara hidup yang melambung tinggi, krisis perumahan, jenayah termasuk menggandakan hutang negara.
“Janji Kanada, selepas sembilan tahun pemerintahan Liberal, dimungkiri,” katanya semasa perbahasan Commons Selasa lalu.
Tetapi parti pembangkang lain, menolak agenda sayap kanannya untuk menjatuhkan Liberal.
Sejurus selepas undi tidak percaya, Parti Demokratik Baru (NDP) berhaluan kiri memilih berpihak kepada Liberal untuk meluluskan undang-undang mengenai cukai keuntungan modal, mengelakkan satu lagi krisis politik.
Poilievre berikrar akan terus mencuba, dengan peluang seterusnya untuk menjatuhkan kerajaan dibentangkan minggu depan.
Jika gagal, beliau dilaporkan masih mempunyai beberapa peluang lagi sebelum akhir tahun ini.
Blok pemisah Quebecois juga turut menuntut konsesi daripada Liberal yang memerintah untuk sokongan berterusannya di Parlimen selepas penghujung Oktober.
Trudeau mengambil alih kuasa pada tahun 2015 dan berjaya bertahan dengan mengalahkan dua pendahulu Poilievre pada undian 2019 serta 2021.
Perjanjian dengan NDP untuk menyokong Liberal akan mengekalkan pemerintahannya sehingga lewat 2025.


































