Gambar Hiasan
JAKARTA: Seorang wanita di Rawalumbu, di Kota Bekasi cedera parah kerana ditikam suami selepas mangsa meminta cerai.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Perhubungan Awam Polis Wilayah Metro Jaya, Ade Ary Syam Indradi berkata, kejadian yang berlaku pada Selasa, tercetus selepas suspek berang dengan permohonan isterinya untuk berpisah.
Difahamkan, kedua-dua mereka sudah tidak lagi tinggal bersama.
Namun, pada hari kejadian, mangsa bertemu dengan suspek dan menyatakan keinginannya untuk bercerai sebelum lelaki itu mengugut mahu menikamnya.
“Pada mulanya, mangsa meminta untuk berpisah dengan suspek dan dia tidak menerima keputusan itu, lalu bertindak agresif.
“Disebabkan mangsa tetap dengan keputusan berpisah, suspek kemudian berang dan menikam perut mangsa dengan pisau menyebabkannya cedera parah,” kata Ade Ary.
Kes itu dilaporkan ke Polis Metro Kota Bekasi dan pihak berkuasa masih menjalankan siasatan.

































