BANGKOK: Raja Thailand secara rasmi memperkenankan rang undang-undang (RUU) perkahwinan sesama jantina yang diluluskan oleh Parlimen, pada awal tahun ini.
Menurut Utusan Malaysia, perkembangan itu menjadikan Thailand sebagai negara pertama di Asia Tenggara dan ketiga di Asia yang mengiktiraf perkahwinan pasangan sejenis.
Perkenan diraja itu diterbitkan dalam Warta Diraja lewat Selasa, bermakna undang-undang tersebut akan berkuat kuasa dalam tempoh 120 hari, iaitu pada 22 Januari tahun depan.
Undang-undang itu adalah hasil daripada usaha selama dua dekad oleh aktivis-aktivis hak asasi manusia dan diluluskan oleh Senat, Jun lalu.
Thailand, yang dikenali sebagai antara destinasi pelancongan paling popular di Asia, sememangnya terkenal dengan budaya LGBT serta tahap toleransi yang tinggi terhadap golongan tersebut.
Thailand akan mengiktiraf pendaftaran perkahwinan pasangan sejenis yang berumur 18 tahun ke atas, termasuk hak mereka untuk mendapat warisan, elaun cukai dan pengambilan anak angkat.
Pentadbiran Perdana Menteri, Srettha Thavisin menjadikan RUU sebagai isu penting, kerana penyokongnya yakin ia mampu menaikkan reputasi Thailand sebagai destinasi pelancongan mesra LGBT.
Thailand menjadi negara ketiga di Asia selepas Taiwan dan Nepal, selain berada di antara kira-kira 40 negara di seluruh dunia yang mengiktiraf perkahwinan sejenis.


































