Kehadiran sekumpulan monyet menyebabkan suspek gagal melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa.- Gambar Hiasan
UTTAR PRADESH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun diselamatkan oleh sekumpulan monyet daripada cubaan merogol di bandar Baghpat, Uttar Pradesh, India.
Menurut Utusan Malaysia, polis berkata, ibu bapa kanak-kanak perempuan terbabit sudah membuat laporan dan suspek akan disiasat di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO).
Menurut kenyataan ibu bapa mangsa, seorang lelaki tidak dikenali membawa anak mereka ke sebuah rumah terbiar pada Sabtu lalu, sebelum cuba menyerang kanak-kanak terbabit secara seksual.
Bagaimanapun, kehadiran sekumpulan monyet yang secara agresif meluru ke arah pelaku dan mangsa, menyebabkan suspek gagal melakukan perbuatan terkutuk itu.
Mangsa kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada ibu bapanya, namun sehingga kini pelaku masih belum ditangkap.
“Anak saya sedang bermain di luar ketika suspek melarikan dia. Lelaki itu dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran bersama anak perempuan saya.
“Pelaku juga mengancam mahu membunuh anak saya, dan jika monyet tidak datang membantu sudah pasti kami hanya menemukan mayat anak kami,” kata bapa mangsa.
Sementara itu, pegawai polis daerah Baghpat, Harish Bhadoria mengesahkan laporan kejadian, dan kini berusaha mengesan suspek di seluruh bandar.
Berdasarkan rakaman CCTV, polis percaya suspek bukan daripada kampung berkenaan.
Harish berkata, suspek dilihat membawa mangsa ke jalan berhampiran kuil dan ke rumah terbiar, sebelum cuba merogol dan mengugut untuk membunuh kanak-kanak terbabit.


































