MINNEAPOLIS: Proses pengundian awal untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024 dimulakan di beberapa negeri seperti Minnesota, South Dakota dan Virginia, menjelang pilihan raya di seluruh negara pada 5 November ini.
Menurut Utusan Malaysia, para pengundi beratur untuk mengundi di negeri-negeri itu seawal pukul 8 pagi waktu tempatan bagi memilih calon Parti Demokrat, Kamala Harris atau calon Parti Republikan, Donald Trump.
Pengundian awal di tiga negeri terbabit dimulakan 46 hari sebelum hari pengundian utama, dalam saingan sengit dengan kedua-dua calon terus menerima sokongan hampir sama.
Pengundian awal di beberapa negeri lain akan dilaksanakan pada pertengahan Oktober ini.
Menurut data dari Jabatan Pilihan Raya Virginia, lebih 1.79 juta undi dibuang pada pilihan raya awal di Virginia pada pilihan raya Presiden yang lalu, sementara sebanyak 962,877 pengundi mengundi melalui pos.
Sementara para pengundi beratur di pusat pengundian di Virginia, pengundi di Minnesota dan South Dakota pula mengundi melalui kaedah yang berbeza iaitu dibenar menyerahkan undi di pejabat pilihan raya atau lokasi yang ditetapkan, bukannya melalui pos.
Dalam pilihan raya presiden yang lalu, lebih 1.9 juta pengundi Minnesota mengundi melalui undi tidak hadir, dengan 1.7 juta daripada undi tersebut dikembalikan sebelum hari pilihan raya, sementara sekitar 83,000 mengundi dengan cara sama di South Dakota.
Kebanyakan negeri di AS membenarkan pengundian awal secara fizikal atau melalui pos bagi membolehkan rakyat menangani konflik jadual atau ketidakmampuan untuk mengundi pada hari pilihan raya 5 November ini.
Harris, 59, berjaya merapatkan jurang sokongan Trump sejak menggantikan Biden sebagai calon Demokrat pada Julai lalu, dan kini kedudukannya setara dengan calon Republikan itu.
Keputusan dijangka bergantung kepada pilihan pengundi di tujuh negeri penting termasuk Georgia dan Wisconsin.

































