N’DJAMENA: Sebanyak 14 pelajar dan seorang guru terkorban selepas sebuah rumah yang digunakan sebagai bilik darjah runtuh akibat hujan lebat di Ouaddai, timur Chad, Khamis.
Menurut Utusan Malaysia, kejadian itu disahkan oleh gabenor wilayah Ouaddai kepada AFP selepas Chad yang biasanya mengalami cuaca kering dan panas dilanda hujan sejak bulan lalu.
Pejabat Perdana Menteri pula memaklumkan, kejadian berlaku selepas bilik darjah itu disambar kilat yang turut mengakibatkan beberapa mangsa cedera.
Bulan lalu, hujan lebat melanda wilayah Tibesti di barat laut Chad, mengakibatkan banjir yang membunuh sekurang-kurangnya 54 orang.
Kawasan tersebut biasanya menerima hujan kurang daripada 200 milimeter setahun.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Selasa lalu memberi amaran mengenai kesan hujan lebat dan banjir teruk di Afrika Tengah, dengan Chad disifatkan negara yang paling terjejas apabila sebanyak 246,833 mangsa terlibat dengan banjir hanya dalam beberapa minggu.
Di negara jiran Niger, hujan yang melanda negara itu sejak bulan Jun telah membunuh 273 orang dan menjejaskan lebih 700,000 orang.
Para saintis telah lama memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong oleh pelepasan bahan api fosil menjadikan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir lebih kerap dan berpanjangan.


































