Taufan Beryl menuju ke Kepulauan Windward, dalam imej komposit daripada satelit cuaca GOES-East National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA).
HONG KONG: Taufan Yagi yang membawa angin kencang dan hujan lebat dijangka melanda wilayah Hainan, selatan China hari ini, memaksa penutupan sekolah untuk hari kedua dan penerbangan dibatalkan.
Dengan angin maksimum yang mampu mencapai 245 kilometer sejam, Yagi dikategorikan sebagai taufan tropika kedua paling kuat di dunia tahun ini selepas taufan Atlantik kategori 5, Beryl.
Yagi dijangka mendarat di sepanjang pantai China dari Wenchang di Hainan hingga Leizhou, Guangdong pada petang ini.
Reuters melaporkan, angin dan hujan disertai dengan guruh dan kilat yang kuat turut dilapor berlaku di seluruh kawasan tersebut sepanjang malam dan pagi ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kemudahan pengangkutan di seluruh selatan China juga dihentikan operasi hari ini dengan banyak penerbangan dibatalkan di Hainan, Guangdong, Hong Kong dan Macau.
Jambatan utama yang menghubungkan Hong Kong dengan Macau dan Zhuhai di Guangdong, juga ditutup.
Di pusat kewangan Hong Kong, bursa saham digantung, sementara sekolah-sekolah kekal ditutup buat hari kedua.
Agensi berita Xinhua melaporkan, kerajaan China juga mengerahkan pakar ke Guangdong dan Hainan untuk mengambil tindakan mencegah banjir.
Dari 1949 hingga 2023, sebanyak 106 taufan mendarat di Hainan tetapi hanya sembilan yang diklasifikasikan sebagai taufan super.


































