Pasukan Bomba mengeluarkan mangsa daripada kereta yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan Bomba
LAHAD DATU: Empat termasuk dua wanita cedera parah dan seorang cedera ringan dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Jalan Segama Batu 8, Kampung Buang Sayang, di sini, awal pagi tadi.
Semua yang parah merupakan pemandu dan penumpang sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback, semuanya berusia antara 40-49 tahun, manakala lelaki yang cedera ringan pemandu kereta jenis Proton Saga.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sepasukan anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohamud Punya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas panggilan kecemasan diterima menerusi talian MERS999 pada jam 4.31 pagi.
Setiba di tempat kejadian, pasukan bomba mengeluarkan mangsa-mangsa yang terlibat menggunakan peralatan khas dan memberikan rawatan awal kepada mereka.
Seterusnya kesemua mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud operasi ditamatkan pada jam 5.41 pagi.


































