ABBA larang Donald Trump guna lagu, video.
WASHINGTON: Selepas beberapa selebriti terkenal melarang penggunaan lagu dan video mereka oleh calon Presiden Parti Repubikan, Donald Trump, kini kumpulan pop terkenal Sweden, ABBA turut menjadi ‘mangsa’ kempen pemimpin tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, terbaharu, syarikat rakaman mewakili kumpulan tersebut, Universal Music mengarahkan pasukan kempen Trump supaya tidak lagi menggunakan lagu serta video mereka untuk berpolitik.
“Kami bersama anggota kumpulan ABBA mendapati ada lagu dan video kami digunakan semasa kempen beliau.
“Kami sekeras-kerasnya melarang penggunaan harta intelek kami,” jelas syarikat rakaman itu dalam satu kenyataan Khamis.
Akhbar harian Sweden, Svenska Dagbladet melaporkan, lagu-lagu popular dan video klip ABBA seperti The Winner Takes It All, Money, Money, Money dan Dancing Queen dimainkan pada kempen Trump dan calon gandingannya, JD Vance di Minnesota pada 27 Julai lalu.
Universal Music tidak pernah memberikan kebenaran kepada kempen Trump untuk menggunakan lagu dan video ABBA.
Anggota kumpulan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut namun menyokong tindakan syarikat rakaman mereka.
Antara penyanyi lain yang turut menjadi mangsa kempen Trump ialah Celine Dion, Tom Petty, Adele dan kumpulan rock R.E.M.


































