Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Kerajaan sedia untuk meminda Akta Hasutan jika ia dilihat mampu mengelak elemen keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada bagi menangani isu membabitkan hasutan di negara ini.
“Kalau tidak cukup, kita pinda undang-undang dan ambil tindakan supaya dapat diangkat negara hebat di rantau ini.
“Saya tidak peduli media antarabangsa (kritikan media antarabangsa), tugas kita selamatkan negara Malaysia tercinta ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Katanya, beliau ingin memberi amaran bahawa negara ini berada di tapak landasan sangat baik dan mampu diangkat cemerlang pada masa depan.
Anwar berkata, beliau mengakui rakyat tidak berdosa mudah ditarik membakar sentimen perkauman ini malah, ia digeruni ketika pimpinan Tunku Abdul Rahman dan ia turut dikesalkan almarhun Tun Abdul Razak.
“Bibit (hasutan) sama masih menghantui kita. Namun, saya yakin dengan jiwa merdeka dan semangat baharu rakyat maka, tiada masalah untuk semua kaum membela nasib, memartabat Islam dan kepercayaan agama lain.
“Saya percaya ini semua dapat dilakukan dengan semangat kecintaan negara satu dan negara bertaut satu sama lain,” katanya.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, kes pendakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan, tidak seharusnya dijadikan sentimen politik.
“Anda melanggar peraturan dan anda terlanjur. Anda perlulah berhadapan dengannya…laporan dibuat, polis ambil tindakan dan Ketua Polis Negara ambil tindakan susulan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa kerajaan hipokrit berhubung isu pendakwaan terhadap Muhyiddin.
Ahli Parlimen Larut itu memaklumkan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) secara zalim menggunakan Akta Hasutan selepas memegang tampuk kepimpinan, selain mendakwa tindakan itu dibuat secara sengaja sebagai alat untuk menindas lawan politik.
Baru-baru ini, Presiden Bersatu itu tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan perkataan menghasut sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri 14 Ogos lalu.


































