Pavel Durov
PARIS: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov ditangkap oleh polis Perancis di sebuah lapangan terbang utara Paris.
Menurut Utusan Malaysia, Durov ditahan selepas jet peribadinya mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget, lapor media Perancis.
Menurut pegawai, lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap di bawah waran berhubung kesalahan berkaitan dengan aplikasi pemesejan popular itu.
Kedutaan Russia di Perancis sedang mengambil langkah segera untuk menjelaskan keadaan, menurut agensi berita TASS Russia.
Saluran televisyen Perancis, TF1 berkata, Durov melakukan perjalanan ke negara itu dengan jet peribadinya.
Telegram amat popular di Russia, Ukraine dan bekas negara Soviet Union.
Aplikasi itu diharamkan di Russia pada 2018 selepas Durov menolak untuk menyerahkan data pengguna, namun larangan tersebut dibatalkan pada 2021.
Telegram kini disenaraikan antara platform media sosial utama selepas Facebook, YouTube, WhatsApp, Instagram, TikTok dan WeChat.
Durov mengasaskan Telegram pada 2013 dan meninggalkan Russia pada 2014 selepas enggan mematuhi tuntutan kerajaan untuk menutup komuniti pembangkang di platform media sosialnya, VKontakte, yang dijual.
































