Goh Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin bergambar di podium selepas kemenangan mereka menentang pemain Korea Selatan, Kang Min Hyuk dan Seo Seung Jae semasa perlawanan akhir beregu lelaki kejohanan badminton Terbuka Jepun di Arena Yokohama.
PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani muncul bergelar juara pada Terbuka Jepun selepas menundukkan juara dunia tahun lalu, pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, pasangan No. 12 dunia itu menewaskan gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi permainan straight set 21-19, 21-15 dalam tempoh 45 minit.
Pada aksi di Arena Yokohama itu menyaksikan Sze Fei-Nur Izzuddin menguji kemampuan juara dunia itu untuk mengikat 18-18 sebelum menang set pertama.
Set kedua bermula dilihat beregu Korea Selatan itu cuba mempertingkatkan gaya permainan namun berjaya ditandingi oleh pasangan negara.
Sze Fei-Nur Izzuddin terus menjarakkan mata dengan mendahului 19-14 sebelum menoktahkan kemenangan 21-15.
Mereka membawa pulang AS$62,900 (RM275,226) iaitu wang kemenangan terbesar mereka setakat ini.
Untuk rekod, ini merupakan kejohanan terakhir beregu ini di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas mereka memilih untuk bergerak sebagai pemain profesional bermula September ini.
































