KUALA LUMPUR: Menerima julukan Ratu OST, penyanyi, Marsha Milan bersyukur kerana sehingga kini masih diberi kepercayaan untuk membawakan lagu runut bunyi drama dan filem.
Menurut Utusan Malaysia, penyanyi berusia 39 tahun itu menganggap peluang yang diberikan itu sebagai rezeki yang telah ditentukan Allah untuknya.
“Itu hanya gelaran. Apa pun, saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menyanyikan beberapa lagu runut bunyi untuk drama.
“Saya berterima kasih, tahun ini sahaja lima lagu (runut bunyi) yang saya nyanyikan. Alhamdulillah, rezeki saya,” katanya.
Marsha ditemui sewaktu sidang media konsert Sounds of Borneo baru-baru ini.
Marsha merekodkan pencapaian membanggakan menerusi 13 buah runut bunyi drama dan filem yang dinyanyikannya sepanjang hampir dua dekad bergelar penyanyi.
Antaranya seperti lagu Bersama Kita untuk siri televisyen (TV) K.I.T.A, Kutinggalkan Cinta (Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa), Bimbang (Nur 2), Dulu Kini dan Akhirnya (Lelaki Itu), Hening Rindu (Aku Bukan Ustazah) dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Marsha, atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh memaklumkan amat teliti dalam menerima tawaran menyanyikan sebarang lagu.
“Saya akan dengar terlebih dahulu sebarang lagu yang ditawarkan pihak syarikat rakaman.
“Kalau sesuai, barulah saya terima tawaran tersebut,” kongsinya.


































