KUALA LUMPUR: Pusat hiburan karaoke berselindung di bangunan pejabat di Jalan Raja Chulan di sini yang menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China digempur Jabatan Imigresen (Imigresen) awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, operasi bermula pukul 12.45 tengah malam itu dijalankan Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Imigresen Melaka hasil risikan dua bulan.
Difahamkan GRO ‘gred A’ itu dibayar tips serendah RM1,000 hingga RM20,000 dengan kalungan selempang bunga sekiranya dapat memberi layanan istimewa kepada pelanggan.
Sepanjang operasi, terdapat beberapa GRO cuba bersembunyi di tingkat bawah yang sedang diubah suai dan di sebalik meja kaunter.
Beberapa unit kondom juga ditemukan di bilik karaoke dipercayai untuk aktiviti tidak bermoral.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap 300 individu dalam serbuan di empat pusat karaoke di bangunan 21 tingkat itu.
Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 213 individu iaitu 14 tempatan dan 199 disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 109 wanita berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun.
“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 186 warga China, Kemboja (2), Hong Kong (2), Bangladesh (1), Pakistan (1), Sierra Leon (1), Myanmar (1), Thailand (1), Taiwan (1), Indonesia (1), Antigua and Barbuda (1) dan Saint Kitts and Nevis (1).
“Siasatan awal kesemua wanita China disyaki GRO yang dibawa oleh pengunjung premis sebagai teman berhibur,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan pagi tadi,
Turut hadir Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Beliau berkata, soal siasat mengesyaki bilik karaoke itu berharga serendah RM4,000 hingga RM30,000 yang beroperasi bermula 11 malam hingga 4 pagi.
Katanya, rata-rata warga asing yang ditahan ini masuk ke Malaysia sebagai pelancong dan antara kesalahan yang dilakukan mereka ialah tinggal lebih masa, salah guna pas serta tiada dokumen perjalanan sah.
Kata Jafri, tindakan tegas juga diambil terhadap warga tempatan yang ditahan dipercayai menggajikan warga asing.
“Fokus kami adalah untuk ambil tindakan tegas untuk pihak majikan lindungi PATI.
“ Tanpa majikan yang gajikan PATI, kebanjiran PATI tidak akan berlaku dan tindakan akan diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


































