Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lawatan kerjanya ke India mencapai objektif apabila kedua-dua negara bersetuju meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, lawatan juga berjaya meraih potensi perdagangan sebanyak RM8 billion.
“Ia membabitkan sektor seperti minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit; bahan dan produk kimia; minyak dan gas serta bahan alat ganti kapal terbang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Selain meraih potensi perdagangan sebanyak RM8 bilion, syarikat dari pelbagai sektor di India turut memberikan komitmen pelaburan bernilai RM4.5 bilion.
Nilai perdagangan Malaysia-India pada tahun 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, sekali gus mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan.
Dalam lawatan kerja tiga hari, Perdana Menteri memaklumkan bahawa rakan sejawatnya, Narendra Modi menyatakan persetujuan untuk memberi sokongan terhadap permohonan Malaysia menyertai gabungan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan).
India turut menawarkan biasiswa kepada 100 pelajar Malaysia bagi mengikuti kursus keselamatan siber dan kecerdasan buatan di bawah inisiatif Indian Technical and Economic Cooperation Programme.
Anwar juga mengadakan mesyuarat meja bulat dengan 31 syarikat, pemain dan peneraju industri pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia dan elektronik selain bidang seperti pembuatan insulin, logistik dan farmaseutikal .
Perdana Menteri juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam di India iaitu Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Masjid Jama dan Maulana Mahmood A. Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.
Sebelum berlepas pulang semalam, Perdana Menteri meluangkan masa bertemu Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi yang merupakan sahabat baiknya.
“Dalam pertemuan singkat ini, kami bertukar pandangan terkait situasi politik kedua-dua negara selain membincangkan isu-isu mutakhir yang berlaku di rantau ini,” katanya.


































