Li Jun (tengah) bersama Ketua Pengamal Media Sabah, Lee Shaw Yun (kiri) dan Ketua Pengarang Utusan Borneo, Lichong Angkui (kanan) semasa majlis makan malam di Hongmou Guilin semalam.
GUILIN: Guilin bakal menjadi bandar keempat di China yang akan menjalin kerjasama bandar kembar (sister city) dengan Bandaraya Kota Kinabalu.
Pada masa ini, Bandaraya Kota Kinabalu telah menjalin kerjasama dengan Hangzhou, Heyuan dan Jiangmen.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Publisiti Jawatankuasa Parti Komunis China (CPC) Guilin, Li Jun berkata, kerjasama yang terjalin itu dijangka mampu memanfaatkan kedua-dua bandar yang cukup terkenal dalam bidang pelancongan.
Beliau berkata, Guilin adalah bandar pertama di Wilayah Guangxi yang menjalin kerjasama bandar kembar peringkat antarabangsa. Setakat ini, Guilin mempunyai 12 bandar kembar antarabangsa yang menekankan kepada pembangunan hubungan persahabatan dengan negara-negara Asean.
Katanya, Sabah dikenali sebagai destinasi pelancongan terkenal di Malaysia dan juga di dunia kerana keindahan alam semula jadi sehingga digelar sebagai negeri di bawah bayu.
“Sebelum ini, Datuk Bandar Guilin, Li Chu menekankan betapa pentingnya hubungan persahabatan antara Guilin dan Kota Kinabalu.
“Mengambil kira kedua-dua bandar mempunyai persamaan maka, pihak kami telah menjemput wakil daripada Kota Kinabalu untuk menyertai Expo Pameran Pelancongan China-Asean yang diadakan di Guilin pada 26 hingga 29 September depan,” katanya semasa majlis makan malam bersama pengamal media Sabah, di Guilin Hongmou Hotel, semalam.
Menurut Jun, surat hasrat (LoI) untuk menjalin kerjasama bandar kembar telah dihantar kepada Datuk Bandar Kota Kinabalu. Dengan termeterainya LoI itu nanti ia akan menjadi asas dalam membentuk hubungan bandar kembar secara rasmi pada masa hadapan.
Kata beliau, pihaknya masih menanti maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk menghantar wakil bagi menandatangani LoI berkenaan.
Jun berkata, lawatan media pada kali ini dilihat akan menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama antara Guilin dan Kota Kinabalu bukan hanya dalam bidang pelancongan tetapi juga bidang pendidikan dan kebudayaan.
Jalinan kerjasama yang akan terjalin itu dilihat akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik Malaysia-China ke-50 tahun ini.


































