Pearly Tan (kiri) dan M. Thinaah bakal bertarung di peringkat suku akhir Terbuka Jepun 2024, esok.
PETALING JAYA: Selepas dibelenggu kekecewaan terlepas pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Pearly Tan-M. Thinaah membuktikan kemampuan melangkah ke suku akhir Terbuka Jepun, petang tadi.
Menurut Utusan Malaysia, beregu No. 1 wanita negara itu, mencatat kemenangan straight set ke atas pasangan Denmark, ulie Finne-Ipsen-Mai Surrow 21-11, 22-20 di Arena Yokohama.
Bagaimanapun, mereka mengakui terdapat pelbagai perkara yang perlu diperbaiki di saingan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.
Thinaah berkata, beliau tidak menyangka mampu bangkit dengan pantas selepass beraksi sehingga ke separuh akhir di Pariss berikutan banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Kami perlu memulihkan keadaan dengan baik untuk menyambung aksi cemerlang esok.
“Mungkin selepas beraksi di Olimpik ia membantu kami kekal cergas,” kata Thinaah.
Pasangan No. 10 dunia itu bakal mengharungi cabaran getir bertemu dengan pilihan kedua dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di suku akhir untuk mara ke separuh akhir.

































