Empat anggota misi SpaceX akan melakukan spacewalk komersial pertama dalam sejarah, minggu depan.
WASHINGTON: Empat anggota misi SpaceX akan melakukan spacewalk komersial pertama dalam sejarah, minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, ekspedisi lima hari, dinamakan Polaris Dawn, akan diketuai hartawan Amerika Syarikat (AS), Jared Isaacman.
Isaacman terkenal kerana menyewa misi Inspiration4 pada 2021, penerbangan angkasa orbit yang disertai sepenuhnya oleh orang awam tanpa angkasawan profesional.
“Sudah dua tahun setengah sejak kami mengumumkan program Polaris. Ia merupakan perjalanan pembangunan dan latihan yang sangat menarik,” kata Isaacman dalam sidang akhbar, kelmarin.
Beliau tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan untuk program tersebut, merangkumi keseluruhan tiga misi dan dibiayai bersama oleh SpaceX.
Untuk misi tersebut, syarikat itu menghasilkan sut angkasa generasi pertamanya, yang berwarna putih dan futuristik.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk dalam hantaran di X menyifatkan Polaris Dawn akan menjadi misi epik dalam penerokaan angkasa lepas.
Pelancaran roket Falcon 9 dijadualkan berlangsung subuh pada Isnin depan dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida.
Dua pekerja SpaceX akan menyertai perjalanan tersebut, iaitu Sarah Gillis, individu yang bertanggungjawab untuk latihan angkasawan dan melatih Isaacman bagi misi Inspiration4, dan Anna Menon, pernah bekerja di NASA sebelum menyertai syarikat itu.
Seorang lagi anggota misi itu adalah juruterbang Scott Poteet, yang juga teman rapat Isaacman.
































