Syahmee Mohd. Ron
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Bahagian Likas mengusulkan supaya keanggotaan ahli lembaga pengarah (ALP) agensi-agensi dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) Persekutuan dilantik mengikut nisbah sama rata ataupun saksama antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak selaras dengan pembentukan Malaysia dan semangat MA63.
Ketua Pemudanya, Syahmee Mohd. Ron berkata, sebagai contoh, jika sebuah agensi kerajaan ataupun GLC mempunyai 9 atau 10 ALP, jika mengikut nisbah representasi yang sama rata komposisinya adalah 3:3:3 untuk (Semenanjung: Sabah: Sarawak).
Manakala jika mengikut nisbah yang saksama, maka komposisinya adalah 4:3:3.
Beliau berkata, Pemuda Gagasan Rakyat Likas menegaskan bahawa sekiranya ruang dan peluang dalam jawatan-jawatan tersebut diberikan, representasi bagi pihak Sabah mestilah daripada kalangan rakyat Sabah yang berkebolehan dan mampu membuat keputusan serta berpandangan seiring dengan hak-hak dan kepentingan Sabah dalam agensi ataupun GLC tertentu.

Noor Azee Ashikeen Asngari
Sementara itu, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Likas, Noor Azee Ashikeen Asngari pula mengusulkan mengadakan mesyuarat melalui kaedah hibrid.
Katanya, mesyuarat hibrid membolehkan organisasi menggabungkan kelebihan mesyuarat bersemuka dan mesyuarat dalam talian dan memberi ruang untuk lebih ramai orang untuk terlibat walaupun berada di lokasi yang berbeza.
“Perwakilan yang hadir menerusi kaedah hibrid tidak perlu mengeluarkan kos perjalanan atau kos menginap untuk hadir ke mesyuarat. Ini akan memudahkan kepada perwakilan yang tinggal jauh atau berada di luar kawasan,” jelas Azee.
Kedua-dua usul ini telah dibentangkan pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Likas baru-baru lalu.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Kewangan dan ADUN Likas, Tan Lee Fatt sebagai jemputan khas dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abdul Karim.
































