Joe Biden memegang tangan Kamala Harris selepas menyampaikan ucapan pada hari pertama Konvensyen Kebangsaan Demokratik (DNC) di Chicaga, Illinois.
CHICAGO: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengukuhkan kedudukan Naib Presidennya, Kamala Harris untuk memimpin perjuangan Parti Demokratik menentang usahawan Donald Trump, dengan menyifatkan Harris adalah harapan terbaik untuk mengekalkan demokrasi di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, beliau yang hadir di pentas pada upacara perasmian Konvensyen Nasional Demokrat, menerima tepukan gemuruh daripada penyokong parti yang telah disertainya selama lebih 50 tahun.
Dilihat mengusap air mata selepas diperkenalkan oleh anak perempuannya, Ashley, Biden melambai kepada orang ramai yang memegang sepanduk ‘Kami sayang Biden’.
“Sudahkah anda bersedia untuk mengundi demi kebebasan? Adakah anda sedia untuk mengundi demi demokrasi dan Amerika? Adakah anda bersedia untuk memilih Kamala Harris dan Tim Walz?” kata Biden dalam ucapan perpisahannya.
Penggal pemerintahannya akan berakhir lima bulan lagi.
Dengan beberapa serangan terhadap Trump, Biden berjanji akan menjadi sukarelawan terbaik yang pernah dilihat oleh Harris dan calon Naib Presiden, Tim Walz.
Ucapan Biden di Chicago menandakan permulaan konvensyen Parti Demokratik selama empat hari.
Presiden itu pada 21 Julai lalu mengumumkan berundur daripada pemilihan Presiden atas desakan anggota parti yang bimbang usia serta keadaan kesihatannya mungkin menjejaskan peluang Parti Demokratik untuk menang atau berkhidmat selama empat tahun lagi.
“Saya cintakan kerjaya ini, tetapi saya lebih cintakan negara saya,” kata Biden disambut sorakan penonton.