Penyanyi dan penulis lagu, Taylor Swift membuat persembahan ketika konsert The Eras Tour di Stadium Groupama, di Decines-Charpieu, timur Perancis, pada 2 Jun 2024.
LONDON: Penyanyi terkenal, Taylor Swift akan meneruskan jelajah konsert terbesar dunia dengan kawalan keselamatan diperketatkan susulan ancaman serangan yang memaksa konsertnya di Vienna dibatalkan, minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Polis Britain berkata, meskipun tiada sebarang petunjuk kejadian di Vienna akan memberi kesan kepada lima penampilan di hadapan 90,000 peminat di Stadium Wembley, kawalan keselamatan tetap dipertingkatkan.
‘Tay-gating’, amalan berkumpul di luar konsert Taylor Swift tanpa membeli tiket, seperti yang berlaku di Munich pada awal musim panas lalu, tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa kerana mahu mengurangkan keadaan sukar dikawal di luar venue.
Peminat di Wembley akan masuk melalui pengesan logam dan hanya dibenarkan membawa satu beg kecil, manakala semua bekas kaca dan logam, komputer riba serta payung diharamkan.
“Sesiapa yang berkeliaran di luar stadium akan dihalau keluar oleh pihak keselamatan,” kata Wembley dalam laman webnya.
Swift, 34, berkata ketakutan terbesar ialah risiko kepada peminatnya berikutan dua serangan di acara muzik pada 2017, iaitu insiden penembakan di Las Vegas dan pengeboman berani mati di konsert Ariana Grande di Manchester, England.
Insiden serangan tersebut membuatkan Swift merasa takut untuk meneruskan jelajah konsert sehingga mendorong beliau untuk melakukan pelbagai langkah tambahan antaranya meningkatkan langkah keselamatan.
Tahap keselamatan persembahan penyanyi asal Amerika Syarikat (AS) di Britain tersebut masih lagi agak samar-samar memandangkan negara itu baru sahaja melalui rusuhan terburuk sejak 13 tahun lalu, akibat insiden pembunuhan tiga kanak-kanak di Southpart, utara England yang didakwa dilakukan oleh pendatang asing yang beragama Islam walaupun dakwaan tersebut ternyata merupakan palsu.
Pakar keselamatan berkata, polis berkuasa Britain telah belajar daripada aksi rusuhan tersebut yang mengorbankan 22 orang termasuk kanak-kanak kecil.
“Untuk konsert besar seperti ini, selalunya mereka menggunakan banyak pasukan keselamatan, dan jangan risau Wembley akan selamat seperti yang anda semua rasakan,” kata Chris Phillips, bekas ketua Pejabat Keselamatan Counter Terrorism Kebangsaan Britain.


































